Thursday, 31 October 2013

Hari ini Khamis (31 Okt 2013) saya ambil cuti sebab nak pergi seminar kononnya tapi tak jadi. Maka itu saya ambil kesempatan selesaikan beberapa urusan peribadi.  Selepas subuh saya duduk menanda kertas jawapan peperiksaan Sains.  Seketika kemudian teringat nak tengok pokok-pokok bunga di luar rumah yang selalu terbiar.  Dapatlah semai lapan pasu.  Ketika bangun dari mencangkung saya rasa pening, beberapa kali begitu.  Agaknya low blood pressure datang lagi. 

Pukul 9.30 pagi saya bersiap-siap untuk ke Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) bersama suami bagi menghantar wang sumbangan membiayai pasukan robotik anak saya ke pertandingan "World Robotic Olympiad" di Jakarta pada 14-18 Nov 2013. Oh ya, terima kasih kepada para penyumbang.  Moga dimurahkan rezeki supaya dapat terus bersedekah, besar pahalanya.

Bila tiba di SAS, suasana lengang. Rupa-rupanya semua warga sekolah berada di dewan meraikan Hari Kokurikulum.  Lantas kami pun dijemput masuk ke dewan. Langkah saya hari ini rupa-rupanya sangat diberkati Allah.  Tanpa diundang, tidak dirancang, saya dapat menyaksikan persembahan tarian tradisional kontemporari anak saya, gerak tari yang lincah, cantik dan bertenaga.  Seronok, bangga dan syukur tidak terkira.  Selepas tamat majlis, saya dan suami dijemput pula menjamu selera... rezeki, Alhamdulillah.

Bersambung ...




Wednesday, 30 October 2013

DETIK MULA-MULA BERMAIN NETBALL

Bangun tidur jam 5.00 petang tadi, tiba-tiba teringat kisah ketika berada di darjah 6 pada tahun 1966 di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak.   Tahun itulah permainan netball mula diperkenalkan oleh cikgu Danial, seorang guru lelaki.  Guru-guru ketika itu semuanya lelaki. Boleh dikira dengan jari bilangan guru perempuan di Malaysia pada zaman itu. Cikgu Danial mengajar kami bermain dengan bersungguh-sungguh serta penuh disiplin, contohnya pemain sebelah kiri tidak boleh pergi ke sebelah kanan gelanggang dan begitulah sebaliknya.