Thursday, 7 November 2013

Cikguuuuu.....saya tak nak main lagiiiii

Pengalaman pertama terlibat dalam pertandingan bola jaring adalah ketika saya di darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Telok Kepayang, Bota Kiri, Perak pada tahun 1966. Ehem.. boleh le congak-congak berapa umur saya sekarang kan?

Oleh kerana kami tak pernah berlawan, maka tentulah takut.  Pak sedara saya pun jampikan sirih yang dah dicalit kapur dan dibubuh pinang,... untuk hilangkan darah gemuruh, katanya.  Dengan penuh kepercayaan saya pun makanlah...takda masalah pada budak-budak kampung zaman dulu sebab dah biasa tumpang makan sirih opah, terutamanya yang digobek.

Kami bertanding dengan SK Seri Kaya (jiran kampung) bertempat di padang SK Bota Kiri.  Pasukan sekolah saya pakai seluar panjang warna merah dan baju putih blouse sekolah kalau tak silap. Ketika itu mana ada t-shirt.  Oh ya, zaman dulu ada had tinggi untuk pemain. Kesiannn kawan saya bernama Mahyah Zambri....terlebih tinggi, maka tak dapat le dia bermain.  Rugi pasukan kami kerana dia pemain yang bagus.

Permainan separuh masa pertama berjalan dengan lancar.  Cikgu Danial letak saya jadi assistant shooter (sekarang Goal Attack) sebab saya pandai shoot dan lincah. Masa rehat......alamakkk, tiba-tiba je perut memulas, bulu roma dah tegak-tegak. Cikgu Danial sedang sibuk mengatur strategi untuk permainan separuh masa kedua.  Seorang pemain dikeluarkan dan diganti dengan pemain lain. Dalam keadaan resah gelisah dan berpusing-pusing, terpacul dari mulut saya..... "cikguuu,... saya tak nak main lagiii".  Dengan pantas dan muka marah cikgu Danial menjawab, "tak boleh, kamu  mesti main".  Eeeeei macam mana niiii.... dah tak tahan, nak terkeluar sangat dah ni.  Saya nekad berlari selaju-lajunya ke arah bangunan sekolah di seberang jalan raya.  Nasib baiklah senang je jumpa jamban.  Fuhh legaaa. Selepas tu saya berlari semula ke padang.

No comments:

Post a Comment